search what u want

Wednesday, June 4, 2008

PENJAGAAN KAKI


Setiap manusia memerlukan sepasang kaki yang sihat dan sempurna untuk menjalankan tugas seharian yang menjamin kehidupan. Begitu juga kepada setiap pesakit Diabetis,kaki adalah pancaindera yang amat penting memandangkan 95 % pesakit Diabetis adalah DM Jenis 2.

Penjagaan kaki adalah penting untuk mengawal dan mencegah komplikasi pada pesakit diabetes. Infeksi kulit oleh kulat dan bakteria terutamanya di celah-celah jari kaki sering terjadi pada penghidap diabetes kerana peredaran darah di kaki pesakit mungkin terganggu. Kehadiran glukos dalam air peluh menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Dengan itu, pesakit diabetes perlu memeriksa kaki mereka dengan kerap dan kaki mereka akan diperiksa setiap kali datang ke klinik.


Tanda-tanda kaki diabetes

  • Kehilangan deria rasa apabila kaki mengalami infeksi atau kecederaan.

  • Kudis mengambil masa yang lama untuk sembuh.

  • Kaki menjadi panas atau sejuk yang berpanjangan.

  • Kebas atau kelemahan otot-otot badan.

  • Perubahan warna dan suhu kaki

  • Kehilangan bulu roma kaki


LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

  • Kaki perlu dibasuh setiap hari dengan menggunakan sabun

  • Keringkan kaki dan celah jari dengan tuala lembut

  • Gunakan losen pelembab atau krim pada kaki bagi mengelakkan kulit dan tumit menjadi kering
  • atau merekah
  • Periksa kaki dengan teliti di tempat yang terang

  • Periksa kawasan di antara jari kaki dan gunakan cermin untuk periksa tapak kaki

  • Cari rekahan pada kulit, luka-luka, calar-balar, melepuh, kudis, bisul atau perubahan warna pada kulit kaki

  • Segera mendapatkan nasihat perubatan sekiranya kaki luka atau keadaan kaki menjadi teruk.

  • Sentiasa menggunakan alas kaki sama ada di dalam ataupun di luar rumah

  • Gunakan sarung kaki yang dapat menyerap peluh iaitu dari jenis benang bulu dan kapas. Pastikan ianya tidak terlalu ketat kerana ini akan menghalang peredaran darah di kaki

  • Tukar sarung kaki setiap hari

  • Pakailah kasut yang sesuai dan selesa dipakai

  • Potong kuku jari kaki secara lurus melintang dan tidak melengkung atau terlalu pendek. Kemaskan kuku dengan mengikis pinggir kuku untuk menumpulkan tepi yang tajam

SENAMAN KAKI

Berikut adalah beberapa jenis senaman yang boleh dilakukan khas untuk kaki anda .

Duduk dengan betul di atas kerusi sambil meletakkan kaki ke lantai


Sambil meletakkan tumit di lantai, angkat tapak kaki ke atas. Kemudian, jari-jari kaki pula diletakkan di lantai sambil tumit kaki diangkatkan ke atas. Langkah ini diulangi sebanyak 10 kali

Tumit kaki diletakkan di lantai. Bahagian depan kaki diangkat ke atas dan putaran 360 º dibuat dengan pergerakan pada pergelangan kaki sebanyak 10 kali

Jari-jari kaki diletakkan dilantai. Tumit diangkat dan putaran 360 º dibuat dengan pergerakan pada pergelangan kaki sebanyak 10 kali
Kaki diangkat ke atas dengan meluruskan lutut. Putaran 360 º dibuat dengan pergerakan pada pergelangan kaki sebanyak 10 kali

Lutut diluruskan dan dibengkokkan ke bawah sebanyak 10 kali. Ulangi langkah ini untuk kaki yang sebelah lagi.

Letakkan sehelai kertas suratkhabar di lantai. Renyukkan kertas itu menjadi bola dengan kedua-dua belah kaki. Kemudian, bukakan bola itu menjadi kertas yang leper menggunakan kedua-dua belah kaki. Langkah ini dilakukan sekali sahaja

SUNTIKAN INSULIN

Insulin boleh digunakan dengan 2 cara iaitu picagari dan jarum atau pen khas.Ia mengikut jenis insulin yang dibekalkan. Perkara perkara penting yang perlu tahu sebelum,semasa dan selepas menggunakan insulin adalah :

# Tempat suntikan ? # Masa suntikan ? # Cara suntikan diberi ? # Cara penyimpanan insulin ? # Cara pemusnahan jarum ?

TEMPAT SUNTIKAN ?

MASA SUNTIKAN ?
Mengikut arahan Doktor yang merawat anda. Suntikan diberi lebih kurang15 minit sebelum makan.

CARA SUNTIKAN DIBERI ?
Bersihkan diri atau tempat yang hendak dicucuk. Jarak antara satu suntikan dengan satu suntikan hendaklah 2 jari. Ini untuk mengelakkan dari dicucuk berulang kali ditempat yang sama. Sekiranya terdapat tempat yang keras akibat dari suntikan yang berulang kali ,ELAK dari mencucuk ditempat tersebut. Ini akan menganggu penyerapan insulin. Pesakit hendaklah duduk dengan selesa. Peralatan hendaklah tersedia diatas meja. Botol insulin hendaklah digoncang terlebih dahulu dan sapu getah pada botol dengan menggunakan kapas beralkohol. Masukkan udara kedalam picagari sebanyak sukatan insulin yang diarahkan. Contoh, 10 cc (unit) Cucuk picagari yang berudara kedalam botol insulin dengan menolak kesemua udara tersebut. Tonggengkan botol insulin dengan picagari dibawah dan seterusnya tarik insulin kedalam picagari sebanyak yang diperlukan Contoh : insulin yang diperlukan 10 cc . Cabut jarum dari botol insulin . Dengan keadaan jarum picagari tegak keatas,tarik picagari arah kebawah untuk memasukkan udara 1cc. Ketuk perlahan-lahan picagari yang mengandungi insulin supaya udara berkumpul diatas. Dengan perlahan-lahan tolak picagari arah keatas sehingga kelihatan setitik dua insulin terkeluar dari jarum dan pastikan jumlah insulin tidak kurang atau lebih dari sepatutnya.

Sekarang insulin sedia untuk disuntik . Tempat yang mudah dikendalikan sendiri oleh pesakit ialah di abdomen. Sapu kapas beralkohol di tempat yang hendak dicucuk. Pegang picagari mengikut keselesaan . Picit sedikit bahagian abdomen dan cucuk jarum dalam kedudukan menegak iaitu 90 darjah dari kulit tetapi jangan tekan batang picagari Lepaskan bahagian yang dipicit dan tarik sedikit batang picagari tanpa menarik keluar jarumnya. Ini untuk melihat sekiranya ada darah didalam picagari .

Sekiranya tiada darah, terus menekan batang picagari yang mengandungi insulin kedalam abdomen sehingga kesemua insulin masuk kedalam kulit. JANGAN tarik keluar jarum dengan sertamerta. TUNGGU hingga 10 saat dengan mengira hingga 10 kemudian cabut jarum dan tekan menggunakan kapas beralkohol yang telah dibuka ditempat tersebut dalam masa 1 minit.

Sekiranya terdapat darah didalam picagari,cabut jarum dari abdomen dengan sertamerta tanpa menekan batang picagari. Cucuklah ditempat yang lain, 2 jari dari tempat pertama. Jarum boleh digunakan untuk 2 atau 3 kali suntikan . JANGAN BERKONGSI JARUM DENGAN PESAKIT LAIN.

CARA PENYIMPANAN INSULIN ?

Insulin hendaklah di simpan di dalam petisejuk dengan suhu 2- 8 darjah celceus iaitu bahagian am atau dalam suhu bilik. Insulin hendaklah diletakkan menegak(berdiri). ELAKKAN dari cahaya matahari secara langsung atau tidak. JANGAN simpan didalam kereta yang ditinggalkan dibawah panas matahari. JANGAN simpan di dalam bahagian beku (freezer) petisejuk. Keluarkan dari petisejuk 3 - 5 minit sebelum digunakan. Sebelum menggunakan insulin hendaklah memeriksa tarikh luput,nama insulin yang digunakan dan kandungannya tiada bendasing.

CARA PEMUSNAHAN JARUM ?
Semua jarum yang telah digunakan hendaklah simpan didalam tin sehingga banyak atau penuh. Tin yang telah dipenuhi dengan jarum yang telah digunakan hendaklah dihantar keklinik yang berhampiran untuk dimusnahkan. JANGAN buang jarum dan picagari merata-rata . Ini untuk mengelakkan dari penyalahgunaannya oleh orang -orang yang tidak bertanggungjawab.

JENIS UBAT

Ubatan

Menggunakan ubat-ubatan makan adalah satu cara untuk mengawal diabetes. Ada beberapa jenis ubatan diabetes dan setiap bekerja dengan cara yang berlainan. Ada pesakit yang akan memerlukan lebih daripada satu jenis ubat diabetes.

Adalah penting untuk anda mengikut arahan yang diberikan oleh doktor anda. Ubat tidak boleh ditambah atau dikurangkan dengan sendiri. Beritahulah doktor anda jikalau anda menghadapi masalah semasa memakan ubat tersebut.

TIPS PENGAMBILAN UBAT –UBATAN ANTIDIABETIK

  • Semak arahan pada sampul ubat berkenaan

  • Jangan makan ubat sekiranya tidak mengambil sebarang makanan

  • Jika terlupa makan ubat berkenaan, segeralah mengambilnya apabila teringat semula

  • Jika terlupa memakan ubat tetapi teringat semula semasa jadual berikutnya, tinggalkan dos tersebut dan ambillah dos ubat mengikut semula jadual yang asal. Jangan menggandakan dos !

  • Ikut jadual makan ubat seperti yang disyorkan samada sebelum atau selepas makan dan kekerapan mengambil ubat (sekali, 2 kali atau 3 kali sehari)

  • Jangan mengambil ubat-ubatan lain kecuali yang dibenarkan oleh doktor bagi mengelakkan interaksi ubat.

  • Elakkan minuman beralkohol apabila mengambil ubat-ubatan anti-diabetik

Antara ubatan yang ada:-

Sulphonylureas eg DAONIL (Glibenclamide), Diamicron (Gliclazide), Glimepiride

Ubatan ini bekerja dengan memberangsangkan sel beta dalam pankreas untuk menghasilkan lebih insulin. Ia lebih berkesan jikalau dimakan sebelum sarapan walaupun ubatan yang lebih baru boleh dimakan pada bila-bila masa.

Kesan sampingan ubat ini yang paling ketara adalah hypoglycemia iaitu tahap gula yang terlalu rendah di dalam darah. Ini biasanya berlaku jikalau pesakit memakan dosa yang berlebihan ataupun dia tidak makan sarapan walaupun masih memakan ubatan diabetes.

Biguanides eg Metformin

Bekerja terutamanya dengan mengawal pengeluaran gula dari sel hepar (liver). Ia juga mungkin ada kesan dalam proses penggunaan gula oleh otot dan tisu lain dalam badan.

Alpha glucosidase inhibitors eg Acarbose

Mengurangkan gula daripada diserap melalui usus. Ia agak berkesan untuk mengawal gula yang tinggi selepas sarapan (postprandial hyperglycemia)

Insulin secretagogues eg Repaglinide, netaglinide

Juga bekerja dengan memberangsangkan sel beta dalam pankreas untuk menghasilkan lebih insulin. Kesan hypoglycemia dikatakan kurang berbanding dengan ubatan kumpulan sulphonylureas.

Thiozolidinediones eg Rosiglitazone, Pioglitazone

Menyelesaikan masalah "insulin resistance".

PENGIRAAN DIET

Langkah Pertama : Pengukuran Indeks Jisim Tubuh

Status berat seseorang boleh ditentukan dengan menggunakan pengukuran

Indeks Jisim Tubuh (Body Mass Index)

BMI = Berat (kg)______

Tinggi (m) x Tinggi (m)

Klasifikasi berat dengan pengukuran BMI :

Kelas

BMI (kg/m²)

Kurang berat

<>

Normal (berat badan unggul)

18.5 – 24.9

Berat badan berlebihan

> 25.0

Pra-obes

25.0 – 29.9

Obes Kelas 1

30.0 – 34.9

Obes Kelas 2

35.0 – 39.9

Obes Kelas 3

> 40.0

Sumber WHO (1998) : Klasifikasi berat dengan BMI

Langkah 2 : Pengiraan Keperluan Tenaga Harian

Jadual : Kaedah pantas untuk mengira keperluan tenaga harian orang dewasa berbanding dengan tahap aktiviti dan berat badan

Tahap Aktiviti

Faktor (Kcal/kg/sehari)

Berat badan

Berlebihan

(overweight)

Berat badan normal

(Ideal)

Kurang berat badan

(underweight)

Sedentari

20 – 25

30

35

Sederhana

25 – 30

35

40

Berat

30 - 35

40

45

Formula : Tenaga = Faktor (tahap aktiviti) x berat badan (kg)

i) Untuk BMI = 18 – 30, gunakan berat badan sekarang.

ii) Untuk BMI > 30, gunakan berat badan ideal pada BMI = 22

Langkah 3 : Contoh Menu

Setelah jumlah keperluan tenaga harian dikira, contoh diet harian boleh dirujuk berdasarkan menu bergambar dari sumber rujukan berikut :

i. Atlas Makanan: Saiz Pertukaran dan Porsi Atlas Of Food Exchanges & Portion Sizes . Dr Suzana Shahar et al.UKM, 2002.

ii. Komposisi Zat Dalam Makanan Malaysia Nutrient Composition of Malaysian Foods. Tee E Siong et al. Institute for Medical Research, Kuala Lumpur 1997

Pengambilan makanan perlulah diagihkan samarata sepanjang hari bagi mencapai kawalan glukos yang baik dan mengelakkan hipoglisemia.

Bagi mereka yang mempunyai berat badan unggul, corak hidangan terdiri daripada 3 hidangan utama (sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam) dengan 2 – 3 snek tambahan (minum pagi, minum petang atau ‘supper’)

Diet 1,200 KiloKalori Diet 1,500 Kilokalori Diet 1,600 Kilokalori Diet 1,800 Kilokalori Diet 2,000 Kilokalori

DIET DIABETIK 1,200 kilokalori

Sampel menu 1,200 kcal; Karbohidrat = 165 g (55%); Protein = 45 g (15 %);

Lemak = 40g (30 %)

Sarapan pagi (7.00 – 8.00 pagi) :

a). Roti jagung – 2 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 6 keping

ATAU Mee/Mee Hoon/Kway Teow – 1 cawan

ATAU Bijirin – 6 sudu makan

b). Margarin polyunsaturated – 1 sudu teh

c). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + tea/coffee

Minum pagi (10.00 – 10.30 pagi) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Makan tengahari (12.00 – 1.30 petang) :

a). Nasi Putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – ¾ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul kecil (60 gram)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan tengahari = 2 sudu teh


Minum petang (3.30 – 4.00 petang) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Margarine polyunsaturated – 1 sudu teh

c). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + tea/coffee

Makan malam (6.30 – 8.00 petang) :

a). Nasi putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – ¾ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul kecil (60 g)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan malam = 2 sudu teh

Minum malam (10.00 – 10.30 petang) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Balik ke menu

DIET DIABETIK 1,500 kilokalori

Sampel Menu 1,500 kcal ; Karbohidrat = 206 g (55%); Protein = 56 g (15 %); Lemak = 50g (30%)

Sarapan pagi (7.00 – 8.00 pagi)

a). Roti jagung – 2 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 6 keping

ATAU Mee/Mee Hoon/Kway Teow – 1 cawan

ATAU Bijirin – 6 sudu makan

b). Margarine polyunsaturated – 2 sudu teh

c). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + tea/coffee

Minum pagi (10.00 – 10.30 pagi) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Makan tengahari (12.00 – 1.30 petang)

a). Nasi putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul sederhana (70 gram)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan tengahari = 2 sudu the

Minum petang ( 3.30 – 4.00 petang) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Margarine polyunsaturated – 1 sudu teh

c). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + Tea/Coffee

Makan malam (6.30 – 8.00 malam)

a). Nasi Putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul sederhana (70 gram)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan malam = 2 sudu teh

Minum malam (10.00 – 10.30 malam)

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Balik ke menu

DIET DIABETIK 1,600 kilokalori

Sampel Menu 1,600 kcal; karbohidrat = 225 g (55%); Protein = 60 g(15 %); Lemak = 53 g (30%)

Sarapan pagi (7.00 – 8.00 pagi) :

a). Roti jagung – 2 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 6 keping

ATAU Mee/Mee Hoon/Kway Teow – 1 cawan

ATAU Bijirin – 6 sudu makan

b). Margarine polyunsaturated – 2 sudu teh

c). Telur – ½ biji

ATAU Ikan/Ayam – ½ kotak mancis

ATAU Keju – 1 keping

d). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + Tea/Coffee

Minum pagi (10.00 – 10.30 am) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Makan tengahari (12.00 – 1.30 petang)

a). Nasi Putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul sederhana (70 g)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan tengahari = 2 sudu teh

Minum petang (3.30 – 4.00 petang) :

a). Roti jagung – 2 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 6 keping

b). Margarine polyunsaturated – 2 sudu teh

c). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + Tea/Coffee

Makan malam (6.30 – 8.00 malam) :

a). Nasi Putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul sederhana (70 g)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan malam = 2 sudu teh

Minum malam (10.00 – 10.30 petang) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Balik ke menu

DIET DIABETIK 1,800 kilokalori

Sample Menu 1,800 kcal; karbohidrat = 248g (55%); Protein = 67.5 g (15 %); Lemak = 60 g (30 %)

Sarapan pagi (7.00 – 8.00 pagi)

a). Roti jagung – 3 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 9 keping

ATAU Mee/Mee Hoon/Kway Teow - 1 ½ cawan

ATAU Bijirin – 9 sudu makan

b). Margarine polyunsaturated – 2 sudu teh

c). Telur – ½ biji

ATAU Ikan/Ayam – ½ kotak mancis

ATAU Keju – 1 keping

d). Susu Tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + Tea/coffee

Minum pagi (10.00 – 10.30 pagi)

a). Roti jagung – 1 ½ keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 4 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Makan tengahari (12.00 – 1.30 petang)

a). Nasi Putih/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul besar (80 g)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Minum petang (3.30 – 4.00 petang)

a). Roti jagung – 2 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 6 keping

b). Margarine polyunsaturated – 2 sudu teh

c). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + Tea/Coffee

Makan malam (6.30 – 8.00 malam) :

a). Nasi putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul besar (80g)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan malam = 2 sudu the


Minum malam (10.00 – 10.30 malam)

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

Balik ke menu

DIET DIABETIK 2,000 kilokalori

Sampel Menu 2,000 kcal; Karbohidrat = 275 g (55%); Protein = 75 g (15 %); Lemak = 67g (30%)

Sarapan pagi (7.00 – 8.00 pagi)

a). Roti jagung – 3 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 9 keping

ATAU Mee/Mee Hoon/Kway Teow – 1 ½ cawan

ATAU Bijirin – 9 sudu makan

b). Margarine polyunsaturated – 2 sudu teh

c). Telur – 1biji

ATAU Ikan/Ayam – 1 kotak mancis

ATAU Keju – 2 keping

d). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + Tea/Coffee

Minum pagi (10.00 – 10.30 pagi)

a). Roti jagung – 2 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 6 keping

b). Margarine polyunsaturated – 1 sudu teh

c). Air kosong/tea/coffee tanpa gula – 1 gelas

Makan tengahari (12.00 – 1.30 petang)

a). Nasi putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul besar (80g)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan tengahari = 2 sudu teh

Minum petang (3.30 – 4.00 petang)

a). Roti jagung – 2 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 6 keping

b). Margarine polyunsaturated – 1 sudu teh

c). Susu tepung (skim/rendah lemak) – 2 sudu makan + Tea/coffee


Makan malam (6.30 – 8.00 malam) :

a). Nasi putih/Mee/Mee Hoon/Kway Teow/Laksa – 1 ½ cawan

b). Ikan/Ayam (masak kurang lemak/tanpa kulit) – 1 ketul besar (80g)

c). Sayur daun – 1 cawan

d). Buah – 1 potong/1 biji sederhana

e). Air kosong

Penggunaan minyak untuk makan malam = 2 sudu teh

Minum malam (10.00 – 10.30 malam) :

a). Roti jagung – 1 keping

ATAU Biskut Krim Kraker – 3 keping

b). Air kosong/Tea/Coffee tanpa gula – 1 gelas

DIET DIABETES


Diet (Pemakanan)

Diet yang baik merupakan tunjang rawatan serta kawalan diabetes yang optima. Diet untuk pesakit diabetes perlu seimbang demi tidak menjejaskan kesihatan.

Amalkan makanan yang seimbang dan pastikan pesakit dapat melengkapkan pengambilan kesemua kumpulan di dalam piramid harian. Jumlah makanan yang dimakan bergantung kepada saiz badan, aktiviti harian dan jantina pesakit. Pilihan makanan yang terbaik adalah makanan yang dapat meningkatkan gula darah secara beransur-ansur.

Ada beberapa nasihat yang umum. Masa makan sebolehnya ditetapkan setiap hari. Ini membolehkan ubatan / suntikan insulin berjalan pada masanya. Masa makan yang tetap juga membolehkan pesakit mengawal serta memantau jumlah / jenis makanan yang dimakan. Simpanlah satu diari diet supaya anda boleh merancang diet serta memperbetulkan diet dengan lebih senang. Jikalau anda mempunyai glukometer, anda boleh juga menuliskan keputusan darah anda di dalam diari tersebut.

Ada beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan:-

  • aiskrim
  • kek
  • kuih-muih manis
  • coklat
  • buah-buahan dalam tin
  • susu pekat (misalan dalam teh tarik)
  • sirup


Bahan yang berkanji seperti nasi, roti, mi dan capati perlu juga dihadkan. Ini kerana ia mengandungi bahan kabohidrat yang akan ditukarkan kepada gula di dalam badan kita setelah dimakan.

Sumber protein seperti daging boleh dimakan dalam kesederhanaan.

Hadkan pengambilan makanan yang kaya dengan kolestrol dan asid lemak tepu seperti :-

  • Organ dalaman haiwan

  • Makanan laut seperti udang, kerang, sotong dan lain-lain

  • Kuning telor

  • Mentega, keju, susu penuh krim

  • Kulit/lemak ayam, lemak daging

  • Minyak kelapa dan santan

(Pesakit dinasihatkan menggunakan minyak masak jenis polyunsaturated seperti minyak jagung, soya, bunga matahari dan lain-lain)

Makanan yang boleh dimakan tanpa sekatan

  • Cecair : air minuman(air masak), air mineral, teh, kopi, sup, minuman Bovril, air barli tanpa gula, jus limau tanpa gula
  • Bahan perisa atau rempah-ratus : serbuk kari,serbuk cili, herba, rempah ratus, lada sulah, kicap, cuka, esen, cili botol
  • Sayuran berdaun hijau : bayam, sawi, kobis, bunga kobis, broccoli, kailan, kacang buncis, kacang panjang, daun seladeri, mentimun, salad, cendawan, bawang, tomato, terung dan lain-lain

Alkohol

  • Pesakit diabetis yang mempunyai berat badan unggul dan kawalan glukos yang baik dibenarkan mengambil alkohol tetapi mereka patut mengetahui perkara- perkara berikut :-
  1. Alkohol menambahkan nilai kalori tanpa sebarang nilai khasiat

  2. Alkohol boleh menyebabkan hipoglisemia

  3. Alkohol menyebabkan mabuk dan mengganggu pengawalan diabetis

  • Sedikit alkohol tanpa gula (seperti wine, martini, champagne, wisky, brandy, gin, rum) mungkin dibenarkan tetapi alkohol yang manis (seperti liquour, sherry, port dan wine manis) patut dielakkan

Bincangkanlah diet anda dengan doktor anda ataupun pakar dietetik anda.

Link berkaitan : NutriWeb Malaysia

Effects of Ramadzan fasting on Type II diabetic patients in Northern Malaysia

Senaman

Senaman juga merupakan aspek yang penting dalam rawatan serta kawalan diabetes. Senaman ditunjukkan boleh menolong kawalan kencing manis dan selebihnya menurunkan berat badan dan menguatkan otot jantung. namun sebelum memulakan senaman adalah penting untuk anda berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu tentang jenis senaman yang paling sesuai untuk anda.


Sebolehnya, anda patut bersenam setiap hari, setidak-tidaknya tiga kali seminggu. Senaman yang dibuat perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya 30-45 minit. Jenis senaman sebolehnya aerobik seperti joging, berbasikal, berenang, berkebun, bersukan dll. Mengangkat berat bukanlah aerobik dan tidak digalakkan.

Jikalau anda telah tidak membuat senaman untuk jangkamasa yang panjang, anda patut memulakan sesi senaman dengan aktiviti yang ringan terlebih dahulu dan menambahkan kesusahan aktiviti perlahan-lahan.

  • Senaman harus dilakukan selepas memanaskan badan dan diakhiri dengan fasa menyejukkan badan

  • Berjaga-jaga dengan gejala hipoglisemia

  • Pakai pakaian yang bersesuaian dan kasut sukan

  • Pastikan tempat senaman adalah selamat, rata dan tidak licin serta ventilasi yang mencukupi

  • Jangan bersenam dalam masa 2 jam selepas makan.

  • Minum air secukupnya bagi mengelakkan kekeringan (dehidrasi)

  • Jangan bersenam semasa sakit atau demam.

  • Jangan bersenam ketika cuaca sangat panas, terlalu gelap atau kadar pencemaran udara tinggi

  • Berhenti segera jika merasa semput atau sakit dada.

  • Kadar nadi hendaklah sentiasa diambil. Berhati-hati sekiranya tekanan darah anda menjadi rendah

UJIAN SARINGAN

Ujian Saringan

Apabila anda disyaki menghidapi diabetes, satu ujian saringan boleh dilakukan dengan mudah. Ia menggunakan satu alat yang dipanggil glucometer (gambar). Sampel darah diambil dengan menyucuk hujung jari anda.

Jikalau ujian anda mencurigakan, satu sampel darah yang lain mungkin diambil dari lengan anda untuk diuji di makmal. Doktor mungkin akan menasihati anda untuk berpuasa selama 10 jam sebelum ujian darah ini

SIAPA YANG PATUT DISARING?

  • Umur 35 tahun ke atas

  • Kegemukan (Obesiti BMI > 30)

  • Dislipidemia (Total Kolesterol > 5.2 mmol/L dan TG > 1.7mmol/L)

  • Sejarah keluarga diabetes.

  • Sejarah diabetes semasa kehamilan.

  • Riwayat ibu yang melahirkan bayi > 4.0 kg

  • Hipertensi (B/P > 140/90 mmHg)

DI MANA UJIAN SARINGAN BOLEH DILAKUKAN?

  • Klinik Kesihatan

  • Hospital

  • Klinik-klinik dan hospital swasta

  • Program-program Kesihatan

Gejala Diabetes

Komplikasi (Gejala) diabetes

Apabila kandungan gula di dalam darah selalu tinggi, ia boleh menyebabkan masalah pada jangkamasa yang akan datang. Dengan mengawal kandungan gula di dalam darah pada tahap yang baik, boleh memperlambatkan gejala diabetes.

Antara gejala diabetes termasuk:

Gejala akut (jangkamasa pendek)

  • Hyperglycemic coma - keadaan di mana pesakit tidak sedar diri disebabkan kandungan gula di dalam darah yang terlalu tinggi
  • Hypoglycemia - keadaan di mana kandungan gula terlalu rendah di dalam darah dan akan juga menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri. Ini disebabkan oleh ubatan ataupun suntikan insulin yang berlebihan serta pemakanan yang tidak teratur. Tanda-tanda termasuk kelaparan, sakit kepala, lemah, berpeluh, pening, menggigil, runsing, kabur mata dan sawan.

Gejala kronik (jangkamasa panjang)

Angin ahmar (stroke/cerebrovascular accident)

Merujuk kepada pembuluh darah yang tersumbat separa atau sepenuhnya. Otak mengalami kekurangan bekalan oksigen (iskemia) dan mendapat serangan angin ahmar.
Pelbagai jenis stroke samada yang ringan atau bersifat sementara (Transient Ischaemic Attack) sehinggalah kepada stroke yang teruk seperti darah beku di otak (Thrombotic Stroke) boleh berlaku.

Tanda-tanda yang ditunjukkan adalah seperti berikut :-

1. Buta pada salah satu mata
2. Kebas pada satu anggota atau separuh badan
3. Lemah pada satu anggota atau separuh badan
4. Sukar bercakap
5. Gangguan ingatan
6. Sawan , Koma

Penyakit Jantung

Serangan sakit jantung yang disebabkan oleh penimbunan kolesterol secara perlahan pada dinding dalam pembuluh darah jantung. Pembuluh darah menjadi sempit, pengaliran darah terhalang dan jantung mengalami kekurangan bekalan oksigen.

Penyakit Vascular Periferi

Penyempitan pembuluh darah arteri menyebabkan peredaran darah ke otot-otot kaki menjadi lemah dan pengidap diabetes merasa sakit betis semasa berjalan (intermittent claudication). Kekurangan bekalan oksigen dan nutrisi di tisu-tisu dan kulit akibat daripada peredaran darah yang lemah menyebabkan luka di kaki lambat sembuh, kaki membengkak dan kulit menjadi kering. Ini meningkatkan risiko jangkitan kepada kaki. Sekiranya kaki pengidap diabetes mengalami infeksi yang teruk dan tidak terkawal, ia terpaksa dipotong bagi menghalang infeksi daripada merebak.


Kerosakan buah pinggang

Proses kerosakan ginjal bermula pada nefron iaitu unit asas ginjal sejak bermulanya penyakit diabetes. Paras glukos yang tidak terkawal untuk jangkamasa panjang mengakibatkan kerosakan nefron. Keadaan ini menjadi semakin teruk oleh tekanan darah yang tidak terkawal.
Nefron yang rosak membenarkan kebocoran sejenis protin halus iaitu albumin ke dalam air kencing. Kehadiran albumin dalam air kencing dinamakan mikro-albuminuria. Ia memberi petunjuk awal terhadap perubahan struktur ginjal dan pembuluh darah pesakit diabetes yang menjurus kepada kegagalan ginjal dan penyakit vaskular yang lain.Tempoh mikroalbuminuria berubah menjadi protinuria nyata (overt nephropathy) berlangsung selama 5 – 10 tahun. Seterusnya, pesakit secara beransur-ansur menuju kepada kegagalan ginjal (End Stage Renal Disease) dan akhirnya terpaksa bergantung kepada dialisis atau menjalani pemindahan ginjal (renal transplant).


Ulcer Kaki (Peripheral Neuropathy)

Periferi neuropati iaitu kehilangan deria rasa bermula daripada hujung jari kaki yang naik keatas. Pesakit akan merasai kebas, sakit seperti terbakar menyucuk-nyucuk seperti ditikam dan gejala bertambah teruk pada waktu malam. Kulit juga boleh menjadi terlampau sensitif sehingga pengidap diabetes akan merasa sakit walaupun terkena kain yang dipakai .
Selain daripada itu, ia boleh memyebabkan kaki menjadi lemah dan tidak stabil sewaktu berjalan . Kehilangan deria rasa atau sentuhan pada kaki akan menyebabkan kaki mudah tercedera dan mendapat kudis (ulcer)
Penyakit urat saraf autonomik pula melibatkan urat saraf pembuluh darah, kelenjar peluh, perut, usus, pundi kencing, jantung dan organ seks/genital.


Ia akan menunjukkan tanda-tanda seperti :-


1. Berpeluh luar biasa selepas makan.


2. Loya, muntah dan cepat merasa kenyang .


3. Cirit-birit yang selalunya berlaku pada malam hari.


4. Tidak lawas kencing kerana pundi kencing tidak mengosong sepenuhnya .


5. Fungsi seks terjejas disebabkan mati pucuk (impotence) dan sakit semasa persetubuhan

(pengeluaran sekresi vagina yang lambat)


6. Pening atau pitam kerana tekanan darah rendah semasa duduk atau berdiri (postural

hypotension) Berdebar-debar

Tanda Diabetes

Tanda diabetes

Kebanyakan diabetes tidak mempunyai apa-apa tanda yang ketara. Namun ada beberapa tanda yang boleh memberikan amaran yang anda mungkin ada diabetes. Antaranya:

  • dahaga yang keterlaluan
  • Kelaparan selalu
  • Selalu bangun tengah malam hendak membuang air kecil
  • Rasa menyucuk-nyucuk ataupun kebas terutama pada kaki
  • hilang berat badan tanpa sebab
  • Kabur penglihatan
  • Luka yang susah sembuh
  • Selalu keletihan

Jikalau anda mempunyai tanda tersebut, berjumpalah dengan doktor anda untuk penyiasatan yang lebih.

Jenis Diabetes


APA ITU DIABETES?

Apabila seseorang itu ada diabetes, dia tidak dapat mempergunakan tenaga dari makanan yang dimakan. Selepas seseorang makan, gula akan naik dalam saluran darahnya. Gula ini merupakan bahan api bagi badan menjalankan tugas harian. Hormon Insulin , yang dihasilkan oleh organ pankreas, diperlukan untuk mempergunakan tenaga tersebut. Dalam diabetes, disebabkan Insulin ini tidak mencukupi ataupun ia tidak berfungsi dengan berkesan, gula dalam darah tersebut tidak dapat dipergunakan. Oleh itu, gula tetap tinggi di dalam darah. Gula yang tinggi di dalam darah inilah yang akan memberikan masalah jangkamasa pendek dan panjang.

Ada 3 jenis diabetes yang utama

Diabetes Jenis 1

Diabetes jenis ini merupakan satu keadaan di mana insulin tidak dibuat dengan secukupnya ataupun tidak dibuat langsung. Pesakit memerlukan suntikan insulin. Ia biasanya disebabkan oleh penghasilan antibodi oleh badan yang melawan sel di pankreas yang membuatkan insulin.

Diabetes Jenis 2

Diabetes jenis ini disebabkan hormon insulin tidak berfungsi dengan berkesan. Ini akan menyebabkan badan cuba menghasilkan insulin dengan lebih banyak sehingga ia tidak mampu lagi menghasilkan insulin dengan secukupnya kelak. Ia dirawat dengan ubatan dan suntikan insulin jika diperlukan. Kebanyakan pesakit diabetes adalah jenis ini.


Diabetes Gestational (Semasa Kehamilan)

  • Diabetes yang berlaku semasa kehamilan

  • Bersifat sementara dan akan hilang selepas bersalin

  • Biasanya dikesan melalui ujian darah pada 28 hingga 32 minggu kehamilan tetapi ibu yang berisiko perlu dikesan lebih awal.

  • Kaedah rawatan hanyalah melalui suntikan Insulin

MAKLUMAT DIABETES

  • Diabetes mellitus merupakan satu masalah yang semakin ketara di kalangan masyarakat di Malaysia. Dijangkakan seramai 7.7% daripada penduduk di Malaysia iaitu hampir 1.4 juta pnduduk menghidapi diabetes.
  • Diabetes boleh dikawal. Diabetes tidak boleh hilang. Akan tetapi dengan pelan pemakanan yang baik, senaman dan ubatan, penyakit ini boleh dikawal. Rawatan diabetes senantiasa berubah mengikut kajian-kajian yang terkini. Ubatan dan cara rawatan serta pemeriksaan telah banyak memperbaiki cara dan qualiti kehidupan pesakit diabetes.
  • Diabetes merupakan masalah seumur hidup. Oleh itu adalah penting untuk anda selalu mengikut rawatan yang dinasihatkan oleh doktor. Adalah penting juga untuk anda selalu berjumpa dengan doktor anda pada tarikh temujanji yang ditetapkan. Beritahulah doktor anda lebih awal jikalau anda menhadapi masalah berkaitan diabetes.
  • Kawalan diabetes bergantung kepada diri anda sendiri. Doktor dan kakitangan di klinik hanya boleh memberikan nasihat dan sokongan sahaja. Akhirnya, tahap kawalan diabetes bergantung kepada diri anda sendiri.
  • Diabetes merupakan satu masalah yang selalu bertukar. Doktor anda akan selalu menukarkan ubatan anda bergantung kepada tahap kawalan diabetes anda.