search what u want

Showing posts with label Maklumat Mengenai Diabetes. Show all posts
Showing posts with label Maklumat Mengenai Diabetes. Show all posts

Wednesday, June 4, 2008

Gejala Diabetes

Komplikasi (Gejala) diabetes

Apabila kandungan gula di dalam darah selalu tinggi, ia boleh menyebabkan masalah pada jangkamasa yang akan datang. Dengan mengawal kandungan gula di dalam darah pada tahap yang baik, boleh memperlambatkan gejala diabetes.

Antara gejala diabetes termasuk:

Gejala akut (jangkamasa pendek)

  • Hyperglycemic coma - keadaan di mana pesakit tidak sedar diri disebabkan kandungan gula di dalam darah yang terlalu tinggi
  • Hypoglycemia - keadaan di mana kandungan gula terlalu rendah di dalam darah dan akan juga menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri. Ini disebabkan oleh ubatan ataupun suntikan insulin yang berlebihan serta pemakanan yang tidak teratur. Tanda-tanda termasuk kelaparan, sakit kepala, lemah, berpeluh, pening, menggigil, runsing, kabur mata dan sawan.

Gejala kronik (jangkamasa panjang)

Angin ahmar (stroke/cerebrovascular accident)

Merujuk kepada pembuluh darah yang tersumbat separa atau sepenuhnya. Otak mengalami kekurangan bekalan oksigen (iskemia) dan mendapat serangan angin ahmar.
Pelbagai jenis stroke samada yang ringan atau bersifat sementara (Transient Ischaemic Attack) sehinggalah kepada stroke yang teruk seperti darah beku di otak (Thrombotic Stroke) boleh berlaku.

Tanda-tanda yang ditunjukkan adalah seperti berikut :-

1. Buta pada salah satu mata
2. Kebas pada satu anggota atau separuh badan
3. Lemah pada satu anggota atau separuh badan
4. Sukar bercakap
5. Gangguan ingatan
6. Sawan , Koma

Penyakit Jantung

Serangan sakit jantung yang disebabkan oleh penimbunan kolesterol secara perlahan pada dinding dalam pembuluh darah jantung. Pembuluh darah menjadi sempit, pengaliran darah terhalang dan jantung mengalami kekurangan bekalan oksigen.

Penyakit Vascular Periferi

Penyempitan pembuluh darah arteri menyebabkan peredaran darah ke otot-otot kaki menjadi lemah dan pengidap diabetes merasa sakit betis semasa berjalan (intermittent claudication). Kekurangan bekalan oksigen dan nutrisi di tisu-tisu dan kulit akibat daripada peredaran darah yang lemah menyebabkan luka di kaki lambat sembuh, kaki membengkak dan kulit menjadi kering. Ini meningkatkan risiko jangkitan kepada kaki. Sekiranya kaki pengidap diabetes mengalami infeksi yang teruk dan tidak terkawal, ia terpaksa dipotong bagi menghalang infeksi daripada merebak.


Kerosakan buah pinggang

Proses kerosakan ginjal bermula pada nefron iaitu unit asas ginjal sejak bermulanya penyakit diabetes. Paras glukos yang tidak terkawal untuk jangkamasa panjang mengakibatkan kerosakan nefron. Keadaan ini menjadi semakin teruk oleh tekanan darah yang tidak terkawal.
Nefron yang rosak membenarkan kebocoran sejenis protin halus iaitu albumin ke dalam air kencing. Kehadiran albumin dalam air kencing dinamakan mikro-albuminuria. Ia memberi petunjuk awal terhadap perubahan struktur ginjal dan pembuluh darah pesakit diabetes yang menjurus kepada kegagalan ginjal dan penyakit vaskular yang lain.Tempoh mikroalbuminuria berubah menjadi protinuria nyata (overt nephropathy) berlangsung selama 5 – 10 tahun. Seterusnya, pesakit secara beransur-ansur menuju kepada kegagalan ginjal (End Stage Renal Disease) dan akhirnya terpaksa bergantung kepada dialisis atau menjalani pemindahan ginjal (renal transplant).


Ulcer Kaki (Peripheral Neuropathy)

Periferi neuropati iaitu kehilangan deria rasa bermula daripada hujung jari kaki yang naik keatas. Pesakit akan merasai kebas, sakit seperti terbakar menyucuk-nyucuk seperti ditikam dan gejala bertambah teruk pada waktu malam. Kulit juga boleh menjadi terlampau sensitif sehingga pengidap diabetes akan merasa sakit walaupun terkena kain yang dipakai .
Selain daripada itu, ia boleh memyebabkan kaki menjadi lemah dan tidak stabil sewaktu berjalan . Kehilangan deria rasa atau sentuhan pada kaki akan menyebabkan kaki mudah tercedera dan mendapat kudis (ulcer)
Penyakit urat saraf autonomik pula melibatkan urat saraf pembuluh darah, kelenjar peluh, perut, usus, pundi kencing, jantung dan organ seks/genital.


Ia akan menunjukkan tanda-tanda seperti :-


1. Berpeluh luar biasa selepas makan.


2. Loya, muntah dan cepat merasa kenyang .


3. Cirit-birit yang selalunya berlaku pada malam hari.


4. Tidak lawas kencing kerana pundi kencing tidak mengosong sepenuhnya .


5. Fungsi seks terjejas disebabkan mati pucuk (impotence) dan sakit semasa persetubuhan

(pengeluaran sekresi vagina yang lambat)


6. Pening atau pitam kerana tekanan darah rendah semasa duduk atau berdiri (postural

hypotension) Berdebar-debar

Tanda Diabetes

Tanda diabetes

Kebanyakan diabetes tidak mempunyai apa-apa tanda yang ketara. Namun ada beberapa tanda yang boleh memberikan amaran yang anda mungkin ada diabetes. Antaranya:

  • dahaga yang keterlaluan
  • Kelaparan selalu
  • Selalu bangun tengah malam hendak membuang air kecil
  • Rasa menyucuk-nyucuk ataupun kebas terutama pada kaki
  • hilang berat badan tanpa sebab
  • Kabur penglihatan
  • Luka yang susah sembuh
  • Selalu keletihan

Jikalau anda mempunyai tanda tersebut, berjumpalah dengan doktor anda untuk penyiasatan yang lebih.

Jenis Diabetes


APA ITU DIABETES?

Apabila seseorang itu ada diabetes, dia tidak dapat mempergunakan tenaga dari makanan yang dimakan. Selepas seseorang makan, gula akan naik dalam saluran darahnya. Gula ini merupakan bahan api bagi badan menjalankan tugas harian. Hormon Insulin , yang dihasilkan oleh organ pankreas, diperlukan untuk mempergunakan tenaga tersebut. Dalam diabetes, disebabkan Insulin ini tidak mencukupi ataupun ia tidak berfungsi dengan berkesan, gula dalam darah tersebut tidak dapat dipergunakan. Oleh itu, gula tetap tinggi di dalam darah. Gula yang tinggi di dalam darah inilah yang akan memberikan masalah jangkamasa pendek dan panjang.

Ada 3 jenis diabetes yang utama

Diabetes Jenis 1

Diabetes jenis ini merupakan satu keadaan di mana insulin tidak dibuat dengan secukupnya ataupun tidak dibuat langsung. Pesakit memerlukan suntikan insulin. Ia biasanya disebabkan oleh penghasilan antibodi oleh badan yang melawan sel di pankreas yang membuatkan insulin.

Diabetes Jenis 2

Diabetes jenis ini disebabkan hormon insulin tidak berfungsi dengan berkesan. Ini akan menyebabkan badan cuba menghasilkan insulin dengan lebih banyak sehingga ia tidak mampu lagi menghasilkan insulin dengan secukupnya kelak. Ia dirawat dengan ubatan dan suntikan insulin jika diperlukan. Kebanyakan pesakit diabetes adalah jenis ini.


Diabetes Gestational (Semasa Kehamilan)

  • Diabetes yang berlaku semasa kehamilan

  • Bersifat sementara dan akan hilang selepas bersalin

  • Biasanya dikesan melalui ujian darah pada 28 hingga 32 minggu kehamilan tetapi ibu yang berisiko perlu dikesan lebih awal.

  • Kaedah rawatan hanyalah melalui suntikan Insulin

MAKLUMAT DIABETES

  • Diabetes mellitus merupakan satu masalah yang semakin ketara di kalangan masyarakat di Malaysia. Dijangkakan seramai 7.7% daripada penduduk di Malaysia iaitu hampir 1.4 juta pnduduk menghidapi diabetes.
  • Diabetes boleh dikawal. Diabetes tidak boleh hilang. Akan tetapi dengan pelan pemakanan yang baik, senaman dan ubatan, penyakit ini boleh dikawal. Rawatan diabetes senantiasa berubah mengikut kajian-kajian yang terkini. Ubatan dan cara rawatan serta pemeriksaan telah banyak memperbaiki cara dan qualiti kehidupan pesakit diabetes.
  • Diabetes merupakan masalah seumur hidup. Oleh itu adalah penting untuk anda selalu mengikut rawatan yang dinasihatkan oleh doktor. Adalah penting juga untuk anda selalu berjumpa dengan doktor anda pada tarikh temujanji yang ditetapkan. Beritahulah doktor anda lebih awal jikalau anda menhadapi masalah berkaitan diabetes.
  • Kawalan diabetes bergantung kepada diri anda sendiri. Doktor dan kakitangan di klinik hanya boleh memberikan nasihat dan sokongan sahaja. Akhirnya, tahap kawalan diabetes bergantung kepada diri anda sendiri.
  • Diabetes merupakan satu masalah yang selalu bertukar. Doktor anda akan selalu menukarkan ubatan anda bergantung kepada tahap kawalan diabetes anda.